Blog Cikgu Ramlan Pit

Cikgu Bahasa Melayu & Chef Dalam Masakan

SYABAS ANAK DIDIKKU

Semalam (11 Mac 2010) keputusan SPM diumumkan. Aku cukup bersyukur kerana semua pelajar aku dari Tingkatan 5 Aktif memperoleh A dalam Bahasa Melayu (30 A+, 1A, 2A-) Anak didikku telah membuktikan bahawa mereka kena berusaha untuk berjaya.
Teruskan usaha , mudah-mudahan terus gemilang dalam hidup.

Hj. Ramlan

March 12, 2010 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

Lelaki Acuan Al-Quran

Lelaki acuan Al-Quran ialah seorang lelaki yang beriman

Yang hatinya disaluti rasa taqwa kepada Allah

Yang sentiasa haus dengan ilmu

Yang sentiasa dahaga dengan pahala

Yang solatnya adalah maruah dirinya

Yang tidak pernah gentar berkata benar

Yang tidak gentar pada ancaman nafsu

Lelaki acuan Al-Quran ialah lelaki yang menjaga tutur katanya

Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya

Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicari

Yang sentiasa berbuat kebaikan kerana sifat penyayangnya

Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh bersifat jembalang

Lelaki acuan Al-Quran lelaki yang menghormati ibunya

Yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan kelaurganya

Yang bakal menjaga keharmonian rumah tangganya

Yang akan mendidik anaknya mendalami ajaran Islam

Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan

Kerana dunia baginya rumah sementara menunggu akhirat

Lelaki acuan Al-Quran sentiasa berjuang untuk agamanya

Yang hidup di bawah naungan Illahi dan mencontohi

Sifat Rasulullah serta para khalifah Rasyidin

Yang boleh diajak berbincang dan berbicara

Yang sujudnya dengan penuh kesyukuran dengan rahmat Allah

Lelaki acuan Al-Quran tidak pernah membazirkan masa

Yang matanya kepenatan kerana kuat membaca

Yang suaranya lesu kerana penat mengalun ayat

Al-Quran dan berzikir

Yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan

Yang bangun subuhnya dengan kesyukuran dan rahmat Allah

Kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kemalangan

Lelaki acuan Al-Quran sentiasa mengingati mati,

Yang baginya dunia adalah ladang akhirat

Yang mana buah kehidupan ini perlu dibaja dan dijaga

Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian

Lelaki acuan Al-Quran ialah lelaki yang tidak

Terpesona denga buaian dunia

Yang kerana dia mengimpikan syurga di situlah

Rumah impiannya…Itulah lelaki acuan Al-Quran

December 13, 2009 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

Kisah Orang Yang Melakukan Maksiat

“Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata:

“Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.”

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata:

“Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat.”

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya.

“Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”

Ibrahim bin Adham berkata:

“Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezeki-NYA.”

Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata:

“Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?

“Ya!” tegas Ibrahim bin Adham.

“Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?”

“Yang kedua,” kata Ibrahim, “kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.

Ibrahim kembali berkata kepadanya:

“Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?”

“Ya! Anda benar.” kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab:

“Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!”

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata:

“Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”

“Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan:

“Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, ‘Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh”

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar dan berkata:

“Wahai Ibrahim , mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”

“Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?”

“Baiklah, apa syarat yang kelima?”

Ibrahim pun menjawab:

“Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.”

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata:

“Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.”
Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran.

“Mulai saat ini aku ingin bertaubat kepada Allah.” katanya sambil teresak-esak.

December 13, 2009 Posted by | KISAH DAN TELADAN | Leave a comment

Rumusan SPM

Teknik Menghasilkan Rumusan Berkesan
A. MENULIS PENGENALAN:

1. Tulis dan ubah perkataan daripada kunci kata soalan pertama sahaja. (tidak boleh ada perkataan ‘dan’ dalam pengenalan.

2. Mengubah maksud perkataan kunci kata pertama soalan:

* faktor = punca = sebab = penyebab = perkara yang mempengaruhi

* langkah = inisiatif = cara = kaedah = tindakan

* kesan = implikasi = kebaikan = keburukan = kesan positif = kesan negatif

* ciri = sifat = bentuk

* masalah = halangan = cabaran = kekangan

3. Contoh:

1. Rumuskan langkah-langkah mengatasi hakisan tanah dan faedahnya kepada masyarakat.

Pengenalan rumusan :

Rencana membincangkan cara-cara mengatasi hakisan tanah.

2. Buat satu rumusan tentang faktor yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Bandar dan implikasinya kepada pembangunan di kawasan Bandar tersebut.

Pengenalan rumusan :

Petikan membincangkan punca-punca yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Bandar.

3. Rumuskan ciri-ciri yang terdapat di dalam diri seorang pelajar cemerlang dan langkah melahirkan pelajar cemerlang. Panjang rumusan hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan.

Pengenalan rumusan :

Rencana membincangkan sifat-sifat yang terdapat di dalam diri seorang pelajar cemerlang.

4. Baca petikan di bawah dan buat satu rumusan tentang kepentingan sektor pertanian kepada Negara kita dan langkah untuk memajukan sektor pertanian negara. Panjang karangan mestilah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pengenalan rumusan :

Rencana tersebut membincangkan faedah sektor pertanian kepada Negara.

5. Buat satu rumusan tentang keburukan makanan ringan kepada kanak-kanak dan cara-cara untuk mencegahnya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pengenalan rumusan :

Rencana tersebut membincangkan kesan negatif makanan ringan kepada kanak-kanak.

B. MENULIS ISI TERSURAT:

1. Isi jawapan berdasarkan kunci kata soalan yang pertama. (gunakan kunci kata dalam soalan. Jangan ubah)

2. Isi hanya yang terdapat dalam petikan sahaja.

3. Beri maksimum 6 isi. (Jumlah isi tersurat dan tersirat ialah 8 isi)

4. Jika kurang isi tersurat, jangan panik. Tambah isi tersirat anda.

5. Jika jumlah perkataan masih kurang 120 perkataan, anda digalakkan tambah isi tersurat.

6. Pastikan maksimum 2 isi dalam satu ayat. SEBAIK-BAIKNYA 1 isi dalam I ayat.

7. Gunakan penanda wacana untuk menggabungkan setiap ayat.

8. Contoh penggunaan ayat:

Contoh 1: Rumusan yang baik.(Katakanlah faktor banjir kilat)

-Faktor utama yang menyebabkan banjir kilat ialah keadaan longkang yang tersumbat.

-Selain itu, faktor yang lain termasuklah kurangnya kadar serapan air di kawasan bandar.

-Sementara itu, hujan lebat yang berterusan juga turut menjadi faktor fenomena tersebut.

-Terdapat juga faktor kurangnya sistem perangkap sampah di kawasan sungai berhampiran.

-Di samping itu, kekurangan tumbuhan di bandar menyebabkan banjir kilat terjadi.

-Faktor penyebab yang terakhir ialah hakisan tanah yang dihasilkan oleh pembinaan di Bandar.

Contoh 2 : Rumusan kurang baik. (akan ditolak 1 markah bahasa)

-Faktor pertama yang menyebabkan banjir kilat ialah keadaan longkang yang sempit.

-Faktor kedua ialah kurangnya kadar serapan di kawasan bandar.

-Faktor ketiga ialah hujan lebat yang berterusan di bandar.

-Faktor keempat ialah kekurangan tumbuhan di bandar.

-Faktor terakhir ialah hakisan tanah dari kawasan pembinaan.

9. JANGAN gunakan perkataan ‘harus/ patut/ mesti/ wajib/ hendaklah/ wajarlah’ dan lain-lain yang berbentuk cadangan. (Tiada markah diberi jika perkataan ini digunakan)

Salah : Langkah mengatasinya ialah kerajaan harus menguatkuasakankan undang-undang.

Sepatutnya : Langkah mengatasinya ialah kerajaan menguatkuasakan undang-undang.

Salah : Selain itu, kerajaan harus mengenakan denda yang tinggi kepada pesalah trafik.

Sepatutnya : Selain itu kerajaan mengenakan denda yang tinggi kepada pesalah trafik.

10. Contoh :

Contoh 1 :Rumuskan faktor kemalangan jalan raya dan langkah mengatasinya.

“Kemalangan jalan raya kerap berlaku di lebuh raya. Hal ini telah banyak menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Kejadian seperti ini perlu dibendung dan sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba harus disekat. ”

Isi tersurat :

-Faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba.

Contoh 2 : Rumuskan kesan-kesan kemajuan teknologi kepada negara dan masalah yang dihadapi.

“Banyak kemajuan tercapai apabila manusia memperkenalkan sains dan teknologi. Pelbagai jenis ciptaan turut dihasilkan sehingga menyebabkan tugas yang dilaksanakan oleh orang ramai menjadi lebih mudah.”

Isi tersurat :

– Selain itu, kesan kemajuan teknologi kepada negara ialah tugas yang dijalankan oleh orang ramai menjadi lebih mudah.

Contoh 3 : Rumuskan ciri-ciri tanaman kontan di negara kita dan kepentingannya.

“Antara tanaman kontan tersebut termasuklah getah dan kelapa sawit. Tanaman ini banyak ditanam di sini kerana tanah lateritnya yang subur. Hasil tanaman ini adalah digunakan untuk jualan yang memberi keuntungan kepada negara.”

Isi tersurat :

– Ciri-ciri pertanian kontan yang lain termasuklah digunakan sebagai jualan bagi memberi keuntungan kepada negara.

Contoh 4 : Rumuskan kesan negatif kafe siber dalam kalangan remaja dan langkah mengatasinya.

“Umum mengetahui perkembangan kafe siber begitu pesat sehingga seperti cendawan tumbuh. Banyak pihak berpendapat bahawa perkembangan ini amat wajar bagi meningkatkan kemajuan IT dalam kalangan penduduk. Namun segelintir kecil menentangnya dengan alasan bahawa tempat ini akan menjadi tempat berkembangnya gejala sosial dalam kalangan remaja. ”

Isi tersurat :

– Kesan negatif yang terakhir ialah kafe siber akan menjadi tempat berkembangnya masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

C. MENULIS ISI TERSIRAT:

1. Berdasarkan kunci kata soalan yang kedua.

2. Isi bahagian ini perlu anda fikir sendiri dan bukan diambil dari petikan juga.

3. Jika isi tersirat yang anda fikirkan sudah ada dalam petikan juga, jangan ambil sebagai isi anda.

4. Penggunaan ayat dan penanda wacana adalah sama dengan isi tersurat.

5. Jumlah minimum ialah 2 isi tetapi jika isi tersurat kurang, bahagian isi ini perlu ditambah.

6. JANGAN gunakan perkataan ‘harus/ patut/ mesti/ wajib/ hendaklah/ wajarlah’ dan lain-lain yang berbentuk cadangan. (Tiada markah diberi jika perkataan ini digunakan)

7. Contoh :

Contoh 1 : Rumuskan kesan-kesan kemajuan teknologi kepada negara dan masalah yang dihadapi.

“Banyak kemajuan tercapai apabila manusia memperkenalkan sains dan teknologi. Pelbagai jenis ciptaan turut dihasilkan sehingga menyebabkan tugas yang dilaksanakan oleh orang ramai menjadi lebih mudah.”

Isi tersirat :

– Masalah yang dihadapi dalam menyebarkan kemajuan teknologi ialah kekurangan pakar yang mampu memberi perkhidmatan dalam bidang ini kerana masih baru di negara kita.

Contoh 2 : Rumusan tentang kepentingan sektor pertanian kepada negara kita dan langkah untuk memajukannya.

Isi tersirat :

-Langkah untuk memajukan sektor pertanian yang seterusnya ialah kerajaan memberi kemudahan subsidi baja kepada para petani.

Contoh 3 : Rumuskan faktor kemalangan jalan raya dan langkah mengatasinya.

“Kemalangan jalan raya kerap berlaku di lebuh raya. Hal ini telah banyak menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Kejadian seperti ini perlu dibendung dan sikap orang ramai menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba harus disekat.”

Isi tersirat :

– Langkah mengatasi kemalangan jalan raya yang terakhir adalah dengan menguatkuasakan undang-undang jalan raya kepada pemandu yang menyalahi peraturan di jalan raya.

Contoh 4 : Rumusan tentang keburukan makanan ringan kepada kanak-kanak dan cara-cara untuk mencegahnya.

Isi tersirat :

– Untuk mengatasi masalah ini, langkah lain ialah ibu bapa memberi didikan agar anak-anak memilih makanan yang seimbang.

D. MENULIS PENUTUP / ULASAN:

1. 3 aspek perlu ditulis iaitu:

i. siapa bertindak ii. apa tindakan iii. tujuan tindakan

2. Ayat mesti mengandungi perkataan berikut:

i. Kesimpulannya / Oleh itu / Justeru / Maka / Jadi

ii. harus / patutlah / mestilah / wajarlah / harus / patut

iii. supaya / agar

3. Ayat seharusnya berbunyi begini :

Contoh 1 :

Kesimpulannya, (siapa bertindak) harus (apa tindakan) agar (tujuan tindakan).

Contoh 2 :

Oleh itu, (siapa bertindak) harus (apa tindakan) agar (tujuan tindakan).

4. Contoh jawapan ulasan rumusan anda:

Contoh 1 :

Rumuskan faktor penyalahgunaan dadah dan langkah membanterasnya.

Ulasan rumusan:

Kesimpulannya, kerajaan dan masyarakat harus berganding bahu agar masalah penyalahgunaan dadah dapat diatasi.

Contoh 2 :

Buat rumusan tentang ciri makanan seimbang dan kebaikan makanan tersebut.

Ulasan rumusan:

Oleh itu, ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka agar bijak memilih makanan yang seimbang.

Contoh 3 :

Rumuskan inisiatif untuk menggalakkan pelajar membaca dan masalah yang dihadapi.

Ulasan rumusan:

Oleh hal yang demikian, para pelajar patut bijak memilih buku yang dibaca agar mendapat pengetahuan yang berfaedah.

Contoh 4 :

Rumuskan faedah penggunaan Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik serta permasalahannya.

Ulasan rumusan:

Kesimpulannya, para pelajar haruslah menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran mata pelajaran tersebut agar mutu bahasa Inggeris mereka dapat dipertingkatkan.

December 12, 2009 Posted by | SPM | Leave a comment

Teks komponen sastera yang belum digunakan lagi

PEPERIKSAAN SPM NOVEMBER 2010 – TEKS PERLU DIBERI TUMPUAN
Teks yang belum digunakan dalam peperiksaan SPM.

CERPEN
1. Annyss Sophillea
2. Lambaian Malar Hijau

DRAMA
1. Serunai Malam

PROSA KLASIK
1. Sabor

SAJAK
1. Duhai Pentafsir
2. Di Ruang Gemanya
3. Derita Pertama
4. Jalan jalan raya kotaku

PUISI TRADISIONAL
1. Pantun Kiasan
2. Seloka Pak Kaduk
3. Pantun Enam Kerat
4. Syair Kelebihan Ilmu

December 12, 2009 Posted by | SPM | Leave a comment

Tips mendidik anak cemerlang

50 rangsangan mudah menjadikan anak bijak

Pakar perkembangan bayi percaya bahawa tahun-tahun pertama kehidupan bayi merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Anda tidak perlu muzik-muzik klasik, pita-pita belajar bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah ANDA. Bercakap, menyanyi dan ketawa bersama-sama. .. jenis-jenis interaksi-interaksi harian begini adalah lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar untuk memikirkan cara-cara baru untuk merangsang anak kecil anda (terutama sekali apabila anda tidak tidur malam meredakan tangisannya) . 50 aktiviti menarik (dan berdasarkan sains) yg disyorkan ini pasti membuahkan hasil.

1. BERTENTANG MATA. Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adlah yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina memorinya.
2. BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA. Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di wajahnya, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang kosong yang anda biarkan senyap tadi.

3. JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN. Lakukan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda bahawa kenyataannya adalah, kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi Iqnya. Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya.

4. JELIRKAN LIDAH. Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah – ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal usia.
5. HASILKAN BUKU BINATANG. Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya untuk dialbumkan. Kemudian, ‘bacalah’ buku itu bersama-sma sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan.

6. GELETEKLAH BAYI ANDA. Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam perkembangan humour bayi. Permainan seperti ‘cak cekur’ dan ‘labah-labah panjat perigi’ dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.
7. TUNJUKKAN PERBEZAAN. Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi anda. Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dam pembacaan apabila dia besar kelak.
8. BERKONGSI PANDANGAN. Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh diikat ke badan anda dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. “Tengok anak kucing tu” atau “Besarkan pokok ni!” atau “ Dengar tak bunyi bomba tu?” – untuk membekalkan bayi anda dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.
9. NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA. Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda sendiri (“mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin….”). Mainkan lagu Beethoven atau Beatles… Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.

10. GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA. Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau pakaian. Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi menjangka rutin.

11. SENTUH DAN RASA. Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.

12. PERGI MEMBELI-BELAH. Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah pasaraya. Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan bayi.

13. BERI KATA KUNCI. Jika anda berkata “Mak nak buka lampu ni,” sebelum menekan suis, anda sedang mengajar sebab dan akibat.

14. BERI KEJUTAN. Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.

15. SEDIAKAN BANYAK TISU. Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa sen, anda mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari.

16. BACA BUKU. Berulangkali. Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan – ia dipercayai membantunya belajar bahasa.

17. MAIN CAK-CAK. Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.

18. JANGAN LUPA REHAT. Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai bersama bayi anda – tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.

19. MAIN DENGAN WARNA. Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna sewaktu anda berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh pula anak memilih warna untuk anda pula mencarinya.

20. BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA. Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza – termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

21. ANGKATKAN SAHAJA. Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia melakukannya. Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan dia beberapa keping kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah kerusinya dan biarkan dia menjalankan eksperimennya sendiri.

22. BIAR DIA MEMBEBEL. Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.
23. LATIHAN MENEKA. Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di bawah salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya.

24. BINA LALUAN HALANGAN. Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atu permainan dia tas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi bagaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.

25. IKUT RENTAKNYA. Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa.

26. BUAT MUKA LAWAK. Kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda. Amalkan rutin yang sama tiga ke empat kali dan kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka.

27. RASA SEKELILING ANDA. Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil me’label’ barangan tersebut.

28. CERITAKAN KISAH DONGENG. Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak supaya dia seronok.

29. BAYANGAN WAJAH. Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya bila bayi “yang lagi satu” senyum dan melambai padanya.

30. (KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS. Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya. Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira – dan boleh berlatih menghafal nama warna.

31. GOYANGKAN BADAN. Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing seperti ballerina.

32. JADILAH TAMAN PERMAINAN. Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di atas anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan lebih menyeronokkan. Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya.

33. KIRA SEMUANYA. Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda.

34. GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA. Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan Tanya anak anda segala jenis soalan daripada soalan abstrak (“adik rasa kenapa Pekan nak makan telur tembakul ibunya?”) sehinggalah ke soalan konkrit (“Pernah tak adik nampak kucing putih?”)

35. TUTUP TV. Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan drngan seseorang yang tidak dapat diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan itu mengajarnya

36. TUKAR PEMANDANGAN. Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain. Anda dapat mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.

37. MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA. Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dlam kehidupan bayi anda, buat dua salinan bagi setiap satu gambar – dan anda sudahpun ada satu set kad suai padan. Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi anda membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya) .

38. RAKAM VIDEO UNTUKNYA. Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.

39. MAIN HUJAN. Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah bersamanya. Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar tentang basah dan kering.

40. MENANGKAP SERANGGA. Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya.

41. BERGURAU-SENDA. Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakana “Ini Ibu.” Kemudian akui kebodohan anda dan ketawakan ‘gurauan’ anda itu untuk membina naluri humour dalam dirinya.

42. MAIN DENGAN PAKAIAN. Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali topi-topi, skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti dan imaginasinya membawa anda.

43. AJAR TENTANG ISIPADU. Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana lebih kecil.
44. HASILKAN ALBUM KELUARGA. Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk membina memori anak anda. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek sewaktu anak bercakap dengannya di telefon.

45. SURUH ANAK MEMBUAT KERJA. Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut warna. Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.
46. PERGI KE PERPUSTAKAAN. Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan.

47. CONTOHI CARA SESAME STREET. Khaskan satu minggu untuk satu abjad. Contohnya, baca buku yang bermula dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman luar rumah dengan kapur.

48. MAIN BERULANG-ULANG. Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu.
49. MAIN “TIRU-MENIRU”. Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda. Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.

50. BERCAKAP TENTANG PERASAAN. Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi. Aktiviti ini harus dikekalkan sehinggalah dia masuk Universiti nanti.

December 12, 2009 Posted by | Cerita | Leave a comment

Muhasabah Diri

Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.

Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa,
Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.

Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk,
Fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk di dalam hidupnya.

Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri anda,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk dipertemukan jodoh dan diberikan teman hidup.

Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal dunia terlalu cepat.

Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita,
Fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.

Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak mengerjakan tugasnya,
Fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.

Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan,
Fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.

Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,
Ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.

Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan,
Tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih hidup !

Marilah kita menjadi orang yang bersyukur atas segala nikmat dan kurniaan yang Allah berikan kepada kita.

Ingat janji Allah, barangsiapa bersyukur dengan nikmat yang diberikan kepadanya, maka Allah akan tambah lagi nikmat itu.

Sebaliknya, barangsiapa yang kufur atau tidak mensyukuri nikmat itu, maka sesungguhnya azab Allah amatlah pedih.

Fikir, renung, timbang dan muhasabah lah diri.

December 12, 2009 Posted by | KISAH DAN TELADAN | Leave a comment

Remaja : Fikirkan bersama…..

Peningkatan kes juvana yang melibatkan anak-anak remaja kian meningkat. Tragedi demi tragedi terpapar di dada-dada akhbar. Peningkatan ini sangat membimbangkan semua pihak termasuk ibu bapa, pihak sekolah dan pemimpin masyarakat. Masalah keruntuhan akhlak remaja didedahkan satu persatu saban hari. Kes-kes salah laku remaja seolah-olah bermusim. Kalau dulu kita digemparkan dengan isu bohsia dan bohjan, sekarang diam pula. Ada suatu ketika kita bimbang dengan kegiatan ‘black metal’ yang diperkatakan media, sekarang senyap sunyi. Namun perlu diingat bahawa isu-isu keruntuhan akhlak ini tidak tamat begitu sahaja, namun berterusan berlaku dan bakal kembali menjadi topik hangat sekiranya dipaparkan media sekali lagi.

Mengikut statistik, pada tahun 2000 seramai 5829 bilangan remaja yang diberkas untuk kesalahan juvana. Melalui jumlah tersebut seramai 3754 berumur 16-18 tahun, 1851 berumur 13-15 tahun dan selebihnya 224 adalah dalam kalangan mereka yang berumur 9-12 tahun. Perangkaan pelajar samseng yang diperoleh daripada Kementerian Pendidikan pula mencatat sejumlah 85 kes pelajar samseng dikesan di seluruh Malaysia pada tahun 1999 meningkat 8 kes berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan kejadian membakar premis sekolah pula mencatat sebanyak 6 kes dan meningkat secara mendadak pada tahun berikutnya menjadi 19 kes. Tujuan pelajar hadir ke sekolah untuk menuntut ilmu adalah niat yang murni, bagaimana boleh bertukar kepada keinginan membakar sekolah?

Cuba bayangkan, apakah yang mendorong mereka sehingga terdesak untuk membakar sekolah yang menjadi tempat untuk menimba ilmu? Cukuplah statistik ringkas ini menjadi kayu ukur menunjukkan keruntuhan akhlak remaja yang menjadi-jadi tahun demi tahun. Sedangkan para remaja menjadi cermin hasil didikan ibu bapa, pihak sekolah dan pihak berkuasa. Pihak tersebut mempunyai peranan besar dalam membimbing remaja dan pelajar menerusi acuan tanggungjawab masing-masing. Apa yang berlaku, ibu bapa menyalahkan pihak sekolah, pihak sekolah menyalahkan guru, guru menyalahkan murid, masyarakat menyalahkan pemimpin, pemimpin menyalahkan kerajaan dan seterusnya. Semua pihak digesa agar meletakkan kesalahan di bahu individu lain.
Persoalannya sekarang bukan lagi siapa salah siapa benar. Akan tetapi, apakah faktor-faktornya? Sama-sama kita fikirkan. Wallahua’lam.

December 12, 2009 Posted by | KISAH DAN TELADAN | Leave a comment

Tahukah Anda?

Tahukah kita
Jika anak-anak kita belajar 10 perkara hari ini, mereka akan lupa 9 daripadanya dalam masa hanya 2 hari?
Adakah kita menghadapi masalah anak-anak faham dan boleh buat latihan bersama kita, tetapi di dalam peperiksaan mereka lupa semuanya?
Menurut kajian Psikologi, nombor adalah perkara yang paling susah dihafal. (Patutlah anak-anak kita begitu sukar untuk menghafal tarikh semasa belajar Sejarah)
Tahap kecerdasan dan kebijaksanaan anak-anak kita selalunya diukur dengan melihat sejauh mana mereka boleh ingat apa yang telah dipelajari. Semakin tinggi kebolehan menghafal, mereka kelihatan lebih bijak dan cerdas.
Anak-anak mudah putus-asa dan lemah semangat jika mereka asyik lupa apa yang telah dipelajari. Akibatnya mereka menyangka bahawa mereka itu bodoh.
Mudah mengingat adalah satu teknik yang boleh dipelajari dan dikuasai. Ia sama seperti belajar menunggang basikal. Mula-mula kekok tetapi lama-kelamaan jadi biasa.

December 9, 2009 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

KATA KERJA

KATA KERJA – IMBUHAN APITAN
a. me(N)-…-kan
b. me(N)-…-i

Nyatakan ( √ ) atau ( X ) bagi ayat-ayat yang berikut:

1a. Saya menduduki kerusi yang kosong itu. (Betul)
1b. Saya menduduki anak itu pada kerusi yang di hadapan. (Salah)
1c. Saya mendudukkan kerusi yang kosong itu. (Salah)
1d. Saya mendudukkan anak itu pada kerusi yang di hadapan. (Betul)

Menduduki – mengambil tempat duduk, duduk di, mendiami, tinggal di
Mendudukkan – meletakkan (menyuruh, mempersilakan) duduk, mengahwinkan

2a. Pelajar-pelajar menaiki bas sekolah itu. (Betul)
2b. Pelajar-pelajar menaiki bendera sekolah. (Salah)
2c. Pelajar-pelajar menaikkan bas sekolah itu. (Salah)
2d. Pelajar-pelajar menaikkan bendera sekolah. (Betul)

Menaiki – memanjat, mendaki, pergi dengan kenderaan, mengenderai
Menaikkan – menjadikan naik (tinggi), meninggikan, membawa ke tempat tinggi

3a. Pak Hamid mendekati lembaga itu. (Betul)
3b. Pak Hamid mendekatkan badannya ke tembok. (Betul)
3c. Pak Hamid mendekatkan lembaga itu. (Salah)
3d. Pak Hamid mendekati badannya ke tembok. (Salah)

Mendekati – pergi (datang) dekat kepada, menghampiri (sesuatu atau seseorang) menuju ke
Mendekatkan – meletakkan supaya dekat atau berhampiran dengan merapatkan, menghampirkan, mendampingkan

4a. Batang buluh memagari rumah Pak Abu. (Betul)
4b. Pak Abu memagarkan rumahnya dengan buluh. (Betul)
4c. Batang buluh memagarkan rumah Pak Abu. (Salah)
4d. Pak Abu memagari rumahnya dengan buluh. (Salah)

Memagari – membuat atau mendirikan pagar pada (di sekeliling), berada di sekeliling atau melingkari sesuatu, mengelilingi, melingkungi
Memagarkan – menggunakan sesuatu sebagai pagar, membuatkan pagar (pada), mendirikan pagar pada

5a. Ali menghadiahi anaknya seutas rantai emas. (Betul)
5b. Ali menghadiahi seutas rantai emas kepada anaknya. (Salah)
5c. Ali menghadiahkan seutas rantai emas kepada anaknya. (Betul)
5d. Ali menghadiahkan anaknya seutas rantai emas. (Salah)

Menghadiahi – memberikan hadiah kepada
Menghadiahkan – memberikan sesuatu sebagai hadiah, menganugerahkan

6a. Hasnah membeli sebuah buku untuk Ali. (Betul)
6b. Hasnah membeli Ali sebuah buku. (Salah)
6c. Hasnah membelikan Ali sebuah buku. (Betul)
6d. Hasnah membelikan sebuah buku untuk Ali. (Salah)

Membeli – memperoleh barang dengan membayar (harganya)
Membelikan – membeli untuk

7a. Mutu mencari ubat sakit pinggang untuk Pak Hussein. (Betul)
7b. Mutu mencarikan Pak Hussein ubat sakit pinggang. (Betul)
7c. Mutu mencari Pak Hussein ubat sakit pinggang. (Salah)
7d. Mutu mencarikan ubat sakit pinggang untuk Pak Hussein. (Salah)

Mencari – berusaha untuk mendapat (memperoleh) sesuatu, sengaja menimbulkan
Mencarikan – mencari sesuatu untuk

8a. Saya memasak gulai ikan untuk tetamu. (Betul)
8b. Saya memasak tetamu gulai ikan. (Salah)
8c. Saya memasakkan gulai ikan untuk tetamu. (Salah)
8d. Saya memasakkan tetamu gulai ikan. (Betul)

Memasak – membuat lauk-pauk, mengolah makanan supaya masak
Memasakkan – memasak untuk, membuat makanan untuk

9a. Ah Min menjahit seluar pendek untuk adiknya. (Betul)
9b. Ah Min menjahit adiknya seluar pendek. (Salah)
9c. Ah Min menjahitkan seluar pendek untuk adiknya. (Salah)
9d. Ah Min menjahitkan adiknya seluar pendek. (Betul)

Menjahit – menyambung sesuatu (kain) dengan menggunakan jarum dan benang, membuat pakaian
Menjahitkan – menjahit untuk orang lain

10a. Anak itu membaca telegram untuk bapanya. (Betul)
10b. Anak itu membacakan bapanya telegram. (Betul)
10c. Anak itu membacakan telegram untuk bapanya. (Salah)
10d. Anak itu membaca bapanya telegram. (Salah)

Membaca – memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya
Membacakan – membaca untuk

11a. Jangan dilepaskan kayu itu, nanti menjatuhi tanaman. (Betul)
11b. Hakim telah menjatuhi Ali hukuman gantung. (Betul)
11c. Hakim telah menjatuhkan hukuman gantung ke atas Ali. (Betul)
11d. Hakim telah menjatuhi hukuman gantung ke atas Ali. (Salah)
11e. Hakim telah menjatuhkan Ali hukuman gantung. (Salah)

Menjatuhi – jatuh mengenai sesuatu, mengenai, mensabitkan
Menjatuhkan – melemparkan ke bawah, menggugurkan, mengenakan

12a. Baginda menganugerahi pahlawan itu bintang kehormatan. (Betul)
12b. Baginda menganugerahi bintang kehormatan kepada pahlawan itu. (Salah)
12c. Baginda menganugerahkan pahlawan itu bintang kehormatan. (Salah)
12d. Baginda menganugerahkan bintang kehormatan kepada pahlawan itu. (Betul)

Menganugerahi – memberikan anugerah kepada seseorang, mengurniai
Menganugerahkan – memberikan sesuatu sebagai anugerah, mengurniakan

13a. Kakak menghidangi tetamu itu sepinggan kuih. (Betul)
13b. Kakak menghidangkan sepinggan kuih kepada tetamu itu. (Betul)
13c. Kakak menghidangi sepinggan kuih kepada tetamu itu. (Salah)
13d. Kakak menghidangkan tetamu itu sepinggan kuih. (Salah)

Menghidangi – menyediakan atau menyajikan makanan untuk
Menghidangkan – menyajikan atau menyediakan makanan

14a. Ali memberi kucing makanan. (Betul)
14b. Ali memberi makanan kepada kucing. (Salah)
14c. Ali memberikan kucing makanan. (Salah)
14d. Ali memberikan makanan kepada kucing. (Betul)

Memberi – menyampaikan (sesuatu) kepada seseorang, mengakibatkan, membuka
Memberikan – menyerahkan sesuatu kepada

15a. Mei Leng mengambilkan ayahnya segelas air. (Betul)
15b. Mei Leng mengambilkan segelas air untuk ayahnya. (Salah)
15c. Mei Leng mengambil segelas air untuk ayahnya. (Betul)
15d. Mei Leng mengambil ayahnya segelas air. (Salah)

Mengambil – memegang sesuatu serta menyimpannya atau membawa pergi, menerima dan menyimpan sesuatu, memegang dan menarik keluar sesuatu, pergi ke sesuatu tempat dan kembali dengan membawa sesatu atau seseorang yang dikehendaki, mendapatkan atau memperoleh (sesuatu yang diperlukan), memperoleh sesuatu kepunyaan orang tanpa pengetahuannya, menerima seseorang dalam sesuatu hubungan yang tertentu, menuliskan, mencatatkan, mengurangi, menerima atau meniru, mempelajari, mengikuti, menggunakan atau memenuhi.
Mengambilkan – mengambil untuk

December 9, 2009 Posted by | PMR | Leave a comment